Ulasan: The Nutcracker and the Four Realms (2018)
Clara (Mackenzie Foy) yang baru kematian ibu, mahu mencari kunci yang boleh membuka bekas misteri peninggalan ibunya. Sewaktu parti Krismas, dia menemui Drosselmeyer (Morgan Freeman) untuk membantu merungkai kotak misteri. Clara memasuki alam aneh dan menemui seorang askar Phillip (Jayden Fowora-Knight), mereka perlu menempuhi Land of Snowflakes, Land of Flowers, Land of Sweet dan Fourth Kingdom untuk bertemu Mother Ginger (Helen Mirren) bagi mendapatkan semula kunci Clara dan mengembalikan harmoni ke dunia yang tidak stabil.
Berdasarkan cerpen E.T.A Hoffman yang ditulis pada tahun 1816, filem ini punyai ciri-ciri filem blockbuster perayaan/cuti sekolah yang baik: visual menarik, muzik klasik berkualiti, rekaan kostum cantik dan rekaan set menakjubkan. Akan tetapi bila semua kehebatan itu digabungkan dengan penceritaan, segalanya jadi serba tak kena.
Penulis Ashleigh Powell dengan berani cuba reimagine sebuah kisah klasik dengan penceritaan baru kepada generasi moden tetapi untuk kanak-kanak pun susah nak beri fokus mana arah tujuan filem ini.
Dari seorang ayah yang bersikap aneh terhadap anaknya kerana sedih kematian isteri, percanggahan poliTikus (betul, tak tipu ada banyak tikus!) dalam Four Realms yang tak ada alasan kuat kenapa ia terjadi. Letak pelakon hebat macam Morgan Freeman, Helen Mirren dan Keira Knightley pun masih tidak dapat menarik perhatian penonton dewasa pada plot penceritaannya.
Studio juga cuba masukkan elemen yang releven pada zaman sekarang seperti women’s empowerment (Clara dan Marie bijak dalam sains dan kejuruteraan), diversity dan pergolakan politik dalaman negara. Sayang sekali elemen ini terbazir begitu saja kerana lakonan Jayden sedikit kaku dan Morgan Freeman pula sekadar kameo. Entah tiba-tiba plot perang saudara bertukar jadi cerita Nutcracker: Rise Of The Machine!
Kepujian harus diberi kerana cubaan memasukkan Nutcracker versi balet Tchaikovsky 1892 “The Nutcracker,” dengan iringan muzik hebat oleh komposer James Newton Howard sebagai flashback sejarah Four Realms. Hairan sekali, penceritaan balet nampak lebih menarik dari cerita asal.
Akhir kata, The Nutcracker and the Four Realms adalah bukti jelas yang bajet besar serta visual hebat jika gagal disatukan dengan penceritaan menarik masih tidak dapat menghasilkan karya agung.