Review

Ulasan: Star Wars: The Last Jedi (2017)

Kisah bermula sebaik sahaja The Force Awakens tamat, Rey (Daisy Ridley) bertemu dengan Mahaguru Jedi Luke Skywalker (Mark Hamill) yang mengasingkan diri untuk mencari jawapan tentang kepekaannya terhadap Force.

Pengarah Rian Johnson sebenarnya memikul tanggungjawab besar memperbetulkan semua kesilapan J.J. Abrams dan berhadapan dengan kematian Carrie Fisher, namun dia berjaya dengan cemerlang menyelamatkan Star Wars. Bukan seperti The Force Awakens yang kononnya mahu menjauhkan diri dari gaya arahan George Lucas tapi akhirnya jadi Lucas wannabe dengan menggunakan alasan ring theory.

Rian yang juga satu-satunya penulis The Last Jedi, masih menggunakan babak-babak dari filem Star Wars terdahulu tetapi dia tidak bermain dengan nostalgia terlampau dalam penceritaannya. Seperti seorang Jedi, dia dapat mencari keseimbangan menggunakan babak dari Original Trilogy arahan George Lucas dengan suntikan kreativiti tersendiri membuatkan setiap babak rasa segar dan baru. Paling berani, Rian mengambil risiko besar dengan bertanya kepada penonton: Adakah Jedi masih relevan?

Dari segi aksi peperangan, kesan visual Industrial Light & Magic sekali lagi membuat kejutan selepas kehebatan yang dilihat dalam Rogue One: A Star Wars Story (2016). Perang angkasa dan darat dalam filem ini adalah yang terbaik dalam sejarah Star Wars. Pengarah sinematografi Steve Yedlin yang pernah bekerjasama dengan Rian dalam Looper (2012) bijak memilih angle menarik dan unik dalam babak perlawanan mahupun menggunakan X-Wing ataupun lightsaber. Walaupun menggunakan wide angle, semua perincian dan pergerakan nampak lebih jelas berbanding perlawanan Finn/Kylo/Rey di hutan salji Starkiller Base dulu.

Kelemahan paling ketara filem ini ialah terlalu banyak plot hendak dipersembahkan, membuatkan fokus penonton terganggu terutama sekali pertengahan cerita agak meleret seperti plot bandar kasino Canto Bight. Subplot seperti ini amat penting untuk kesinambungan ke Episode IX tetapi ia tidak patut mengambil masa begitu lama.

Dari segi perwatakan, semua karakter mendapat screentime yang sama banyak. Carrie Fisher dan Mark Hamill bukan sekadar kameo lagi, watak Rose Tico (Kelly Marie Tran) dan Vice Admiral Holdo (Laura Dern) diperkenalkan dengan baik dan bersahaja, paling penting watak mereka meninggalkan kesan pada penonton. Paling mengkagumkan ialah lakonan Adam Driver yang banyak berubah dan tidak menjadi budak gothic emo lagi. Akan tetapi, watak paling mengecewakan sekali ialah watak DJ (Benicio del Toro) yang tidak ubah seperti watak The Collector dalam filem Guardians of the Galaxy (2014).

Akhir kata, The Last Jedi masih tidak boleh menandingi Original Trilogy tetapi Rian Johnson bijak bermain dengan banyak plot twist dan kejutan yang membuatkan homage ini meninggalkan kesan kepada penonton dan juga menjadikan dia pengarah yang amat terpuji. Persoalannya sekarang, mampukah J.J. Abrams menandingi kehebatan ini tanpa permainan lens flare sewaktu mengarah Star Wars: Episode IX nanti?

Leave a Reply