Ulasan: Captain Marvel (2019)
Dalam filem origin Captain Marvel, Vers (Brie Larson) adalah seorang pahlawan dari unit ketenteraan elit Kree yang dikenali sebagai Starforce dan dilatih di bawah bimbingan Yon-Rogg (Jude Law). Dia juga mempunyai sejarah lampau di Bumi. Rupa-rupanya, nama sebenar Vers adalah Carol Danvers, bekas juruterbang Angkatan Udara yang terlibat dalam kemalangan. Selepas misi Starforce yang gagal, Vers tidak sengaja mendarat di Los Angeles pada tahun 1995, dan bertemu dengan ejen muda S.H.I.E.L.D. Nick Fury (Samuel L. Jackson).
Tanpa memburukkan keadaan atau digelar misogynist, senang cerita kualiti lakonan Brie Larson kini bukanlah Brie yang pernah memenangi anugerah Oscar untuk filem Room (2015). Dia patut berterima kasih kepada seekor kucing dan Ben Mendelsohn disebalik make-up prostetik tebal tetapi masih boleh memberi ekspresi wajah dan lakonan yang lebih memberangsangkan.
Character development untuk hampir setiap watak (kecuali Samuel L. Jackson kerana karisma sedia ada dalam dirinya) sangat mendatar, penonton mahu menyokong Vers tetapi tidak dapat merasa kekecewaan atau penderitaan untuk membangkitkan semangat adiwira yang terpendam dalam dirinya.
Dari segi penceritaannya pula, selepas montaj pembukaan yang hebat dan menyentuh perasaan, filem ini tidak ubah seperti kisah pengisi ruang kosong sebelum Avengers: Endgame. Untuk berbeza dan lebih segar dari komik, kisah peperangan Kree dan Skrull diubah secara drastik namun sebagai pembaca komik tegar, perubahan ini perlu disokong dengan penjelasan yang lebih kuat.
Penulis Anna Boden, Ryan Fleck dan Geneva Robertson-Dworet sepatutnya menguatkan karakter sedia ada tetapi memilih mencampur aduk beberapa kejadian, objek dan watak ikonik menjadi rojak pelbagai perisa. Watak Ronan The Accuser (Lee Pace) dan Korath (Djimon Hounsou) bagaikan tiada fungsi sekadar kameo. Lebih menyedihkan lagi, perkara ikonik seperti kecederaan mata Nick Fury dan pemilihan nama dilakukan seperti komedi yang tak menjadi dan alasan yang sangat remeh.
Pujian harus diberi kerana filem ini cuba mengembalikan nostalgia lampau melalui visual dan objek yang pernah kita semua pernah lihat dan guna dulu tetapi tindakan pengarah mencampak lagu-lagu 90’an tanpa henti pada babak yang tak bersesuaian, agak memaksa penonton.
Akhir kata, filem Captain Marvel yang sepatutnya menguatkan MCU sebelum kemunculan Avengers: Endgame tetapi membuatkan keadaan lebih bercelaru lalu membuatkan peminat lebih risau ke mana arah tuju Marvel dalam melengkapkan universe yang sangat epik ini.