Ulasan: Petta (2019)
Filem Petta arahan Karthik Subbaraj mengisahkan seorang lelaki misteri bernama Kaali (Rajinikanth) yang baru mula bekerja sebagai warden asrama lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh. Dia mendapati asrama telah dikuasai oleh sekumpulan pelajar yang dipimpin oleh Michael (Bobby Simha), anak seorang pemimpin tempatan (Aadukalam Naren). Kaali berjaya menamatkan keganasan Michael dan membentuk persahabatan rapat dengan Anwar (Sananth Reddy), yang bercinta dengan Anu (Megha Akash), anak perempuan penyembuh terapi, Mangalam (Simran). Apabila Kaali bertemu Mangalam untuk meyakinkannya untuk menerima hubungan anak perempuannya dengan Anwar, mereka berdua jatuh cinta. Tanpa disedari, Kaali telah memerangkap dirinya dalam situasi yang lebih besar dan membongkar rahsia misteri dirinya sendiri.
Untuk pengetahuan anda, saya terpaksa memotong pendek sinopsis diatas kerana secara zahirnya Petta adalah gabungan dua cerita yang sangat panjang.
Separuh pertama filem ini, pengarah Karthik Subbaraj melakukan tribute kepada perjalanan karier pelakon ikonik Rajinikanth. Dari babak membuka pagar dari filem debut Apoorva Raaganal (1975), siulan, cara memasukkan rokok ke mulut, gaya menolak rambut sehingga ke lagu-lagu klasik memgimbau memori. Segala yang dilakukan bukan sahaja sebagai penghormatan pada “SUPERSTAR” tetapi penghargaan unik bagi penonton-penonton yang menyokong karier Rajinikanth selama ini.
Pada umur mencecah 70 tahun dengan 165 filem, Rajinikanth masih lagi boleh menggegarkan pawagam dengan karisma “Rajini Swag”. Bukan sahaja kehebatannya dalam aksi perlawanan dan menari tetapi juga komedi, babak biryani dealer yang dilakukan secara spontan boleh memecahkan perut penonton.
Namun dalam keterujaan Karthik Subbaraj mengagungkan hero kesukaan ramai, dia overshoot separuh masa pertama. Intipati sebenar kisah terletak selepas intermission menggerakkan penceritaan menjadi lebih menarik. Akibat kesuntukan masa, ia perlu dipercepatkan menyebabkan banyak babak gagal dihayati.
Sebagai contoh, terdapat babak flashback penting yang menunjukkan hero hilang kawalan situasi sekelilingnya. Karthik gagal memasukkan elemen emosi untuk penonton berkongsi kesedihan yang dialami Kaali sedangkan ini adalah babak traumatik yang mengubah kehidupannya.
Watak antagonis menjadi lebih baik apabila Vijay Sethupathi dan Nawazuddin Siddiqui mengambil alih tugas dari Bobby Simha dan Aadukalam Naren. Sayang sekali pelakon utama wanita Simran dan Megha Akash tidak berjaya dikembangkan kerana watak flashback lakonan Malavika Mohanan lebih berkesan walaupun dia perlu belajar dan memasuki kelas Tamil untuk karakternya.
Dari segi teknikal, pujian perlu diberi kepada penyunting Vivek Harshan yang menggalas tanggungjawab besar secara bijak menggunakan fast cut supaya filem panjang ini tidak membosankan. Pengarah seni Suresh Selvarajan pula bijak memilih tona warna seiring dengan tema setiap babak. Pengarah sinematografi Tirru berjaya merakam babak pemandangan yang indah tetapi kadang-kadang melakukan shot yang tidak kena dengan keadaan seperti kamera 360° pada babak karakter bersembang perihal remeh.
Akhir kata, pengarah dan penulis Petta Karthik Subbaraj berjaya mengangkat Rajinikanth ke tahap tertinggi dengan tribute tersohor dengan penceritaan estetik namun hilang fokus dalam pemilihan plot yang perlu diketengahkan.